PBS Psikometrik


PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK

Psikometrik ialah suatu bidang yang berkaitan dengan teori dan teknik dalam pengukuran pendidikan dan psikologi, merangkumi pengukuran pengetahuan, kemampuan, sikap dan personaliti. Pentaksiran psikometrik digunakan untuk mendapatkan lebih maklumat tentang kemampuan, kekuatan, kelemahan, bakat, sikap, potensi, minat dan personaliti seseorang individu bagi tujuan membantu dalam memperkembangkan potensi dan pertumbuhan individu itu.  Data yang diperoleh mampu memberikan maklumat yang menyeluruh tentang seseorang individu supaya individu itu dapat difahami sebagai seorang insan.

Setiap individu perlu mengenal diri bagi tujuan peningkatan dan pembangunan diri. Semua yang ingin dibangunkan, perkembangan intelek, emosi dan sosial, mesti diukur.

Pentaksiran psikometrik menggunakan instrumen pentaksiran yang tidak berasaskan kurikulum dan pengajaran-pembelajaran. Instrumen itu direka bentuk untuk mendapatkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif tentang keupayaan seseorang untuk bertindak balas dalam suatu cara tertentu yang bersifat am. Ujian ini mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Prestasi murid tidak diukur  dan laporan adalah dalam bentuk deskriptif. Measuring knowledge, abilities and behaviour, psychometric assessment tools  aid the decision making process, but do not make the decision to select one child over the next (Munchinsky, 2003; Wilson, 2004).

Dalam usaha merintis perubahan ke arah pembangunan modal insan yang unggul, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) mengemukakan dua jenis ujian dalam pentaksiran psikometrik, iaitu Ujian Aptitud dan Inventori Personaliti.


UJIAN APTITUD 


Ujian Aptitud digunakan untuk mengukur potensi murid untuk berjaya dalam pembelajaran atau pekerjaan yang akan dilaluinya di masa hadapan. Ujian Aptitud lazimnya terbahagi kepada kebolehan yang spesifik yang menggambarkan struktur kecerdasan secara hierarki dan diterima oleh pengamal atau pekerja dalam  sesuatu bidang.

Ujian ini adalah sangat penting dalam pembangunan individu murid kerana ia dapat membantu guru mengenal pasti dan mengembangkan pelbagai potensi yang ada pada murid.

Ujian ini diskor dan diinterpretasikan secara individu sebagai ukuran aptitud khusus atau secara komposit sebagai ukuran aptitud am yang berkaitan dengan potensi seseorang dalam sesuatu pekerjaan atau bidang.

Tujuan Ujian Aptitud 


  Tujuan Ujian Aptitud adalah untuk:
  1. Mengenal pasti kecenderungan, kekuatan/kelemahan, minat, bakat, kesediaan bagi menyediakan situasi pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dan sesuai dengan keperluan murid

  2. Mencungkil dan membantu mengembangkan potensi murid pada peringkat umur tertentu

  3. Memperkenalkan strategi, kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan berkesan

  4. Membantu guru memahami psikologi murid

  5. Membantu murid mengenal potensi diri

  6. Meramalkan kejayaan murid dalam alam pembelajaran dan pekerjaan

  7. Memantau tahap kebolehan umum murid dalam menceburi pelbagai bidang pendidikan, latihan dan pekerjaan sama ada  di peringkat lokal dan global dengan menggunakan  kemudahan yang ada di persekitarannya

  8. Menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu 

Di peringkat sekolah rendah, tujuan ujian adalah untuk mendapatkan maklumat am tentang kemahiran asas murid dalam literasi dan numerasi serta minat / kecenderungan dalam bidang tertentu. Di peringkat menengah rendah, tujuan ujian adalah untuk mendapatkan maklumat am tentang pengetahuan dan kemahiran umum murid dalam berkomunikasi, berfikir, berinteraksi dengan persekitaran, manusia dan Penciptanya serta minat / kecenderungan dalam bidang tertentu. Manakala di peringkat menengah atas, tujuan ujian adalah untuk mendapatkan maklumat am tentang kemahiran spesifik murid serta minat / kecenderungan dalam bidang yang lebih spesifik.




No comments:

Post a Comment